Di bandar Saigon Vietnam ada satu kisah popular tentang Van Duong Phu, sebuah seni bina hebat dibina oleh Vuong Hong Sen, seorang Saigonese, budayawan, ahli akademik, dan pengumpul barangan antik yang terkenal. Beliau juga mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang wilayah selatan Vietnam ini malah menulis banyak buku mengenai Saigon.
Pada akhir hidupnya, Vuong Hong Sen berhasrat menjadikan kediamannya sebuah muzium bagi memperkenalkan budaya Saigon kepada pelawat. Walau bagaimanapun, selepas kematiannya, rumah itu telah ditinggalkan begitu sahaja. Semangat rumah itu pudar sejak peninggalan beliau. Meski beliau sangat dihormati pada masa hidup dan berjaya menghasilkan karya-karya hebat, namun beliau gagal memperturunkan kecintaan terhadap sebuah dunia Saigon kepada generasinya.
Kisah Van Duong Phu menjadi inspirasi kepada pemilik rumah Saigon. Beliau yang juga merupakan seorang individu yang sangat mencintai warisan Saigon tidak gemar tinggal di dalam rumah bergaya Barat yang popular di bandar ini. Sebaliknya, rumah yang dimahukan adalah ruang hidup yang menjadi tempat berkumpul bagi saudara dan generasinya kerana dia mahu berkongsi kenangan bersama keluarga di sini.
Rumah Saigon dibina berbumbung cerun, ada halaman dan balkoni berbunga. Lorong lorong yang ada di dalam rumah ini sangat unik dengan blok warna. Nampak chaotic tetapi kaya dengan nilai dan warisan budaya. Rangka keluli berjaring terbentang antara blok dan direntasi pohon tinggi yang tertanam di bahagian dalam rumah.
Ruang sosial dicipta di lorong dalam rumah membolehkan ahli keluarga berkumpul dan berinteraksi membina hubungan. Ruang ini menawarkan penghuninya akan pengalaman merasai momen peralihan hari dan musim hujan dan panas, kerana keterbukaannya kepada atmosfera luar.
Perabot dalam kediaman ini adalah adukan koleksi yang dikumpul oleh tuan rumah dan rekaan arkitek. Kebanyakan bahan dan barangan diperoleh dari rumah-rumah yang telah dirobohkan di Saigon. Setiap barangan terpakai yang dibawa masuk dalam rumah Saigon mempunyai kisah tersendiri. Setiap kisahnya diceritakan kepada anak di dalam rumah ini supaya setiap pewaris mengenali secara dekat dan lebih menghargai rumah Saigon.