Terpukau dengan seni reka Hotel Butik The Principal Madrid yang terletak di Gran Via berhampiran jalan penghubung ternama di Ibu Kota Sepanyol menarik perhatian ramai yang pernah mengunjungi daerah ini. Sememangnya lokasi sekitar Gran Via merupakan tempat strategik dengan pemandangan terbaik di dalam bandar.
Rekaan dalaman Hotel The Principal Madrid cukup gah dengan binaan siling tinggi, pagar besi, tingkap bersaiz besar serta kolaborasi perabot seolah penjelmaan estetik New York. Keindahan rekaan dalaman hotel butik ini layak jika dilabelkan sebagai tempat penginapan ekslusif dan mewah, baik dari konsep sebuah hotel atau kediaman.
Selanjutnya: 6 Grand Dining Room To Inspire
Menariknya tentang hotel butik ini, terdapat banyak ruang santai untuk tetamu bersosial dan menghabiskan masa terluang mereka sambil menikmati suasana tenang serta hiasan dekorasi yang mungkin mampu mencuri perhatian. Ático salah satu ruang santai terletak pada tingkat atas, agak tersembunyi dari laluan ramai, sesuai untuk menikmati hidangan petang sambil mendengar alunan muzik mendamaikan.
Kualiti makanan yang disediakan di sini dipantau oleh Chef terkenal Ramón Freixa, beliau turut memiliki sebuah restoran di Hotel Unico Madrid yang pernah memenangi dua bintang dari Michelin. Pengikhtirafan ini cukup untuk meyakinkan kualiti makanan yang ditawarkan. Manakala, taman konservatori La Terraza yang terletak di atas bumbung subur dengan cemara dan pokok-pokok zaitun, pancuran air serta menara pantau ini merupakan keistimewaan yang jarang kali boleh didapati.
Direka bentuk oleh Pilar Garcia-Nieto dan Studio Luzio, The Principal Madrid menempatkan sebanyak 76 buah bilik, idea asal oleh Pau Guardians menghasilkan hotel dengan pilihan bilik merangkumi bilik Executive, Premium, Superior, Deluxe, Junior Suite dan Suite Gran Via.
Berkeluasan 24 meter persegi dengan binaan siling tinggi dan tingkap berukuran besar, bilik Executive menawarkan ketenangan kepada penghuni dengan sebaran cahaya semula jadi dari sunny courtyard. Dilengkapi dengan set perabot melengkapkan ruang kamar serba sempurna. Walk in-shower bersama massage jets panel untuk suasana mandi lebih indah memberi kepuasan kepada pengunjung yang bertandang. Manakala bilik Executive turut menyediakan kemudahan Wi-Fi, saluran televisyen dengan 100 saluran antarabangsa, sistem Bluetooth untuk sambungan peranti bijak serta palam pencucuk antarabangsa. Menariknya lagi, perkhidmatan penggilap kasut turut disediakan.
Bilik Premium pula adalah pilihan bilik yang direka menghadap keluar dengan cahaya semula jadi meyusuri terus ke dalam, memiliki kesemua kemudahan seperti yang ditawarkan oleh bilik Executive. Manakala, bilik deluxe yang berkeluasan 25 dan 28 meter persegi pula mempunyai kelebihan akses percuma Wellness Suite untuk kemudahan sauna kepada para penginap bilik tersebut. Keluasan Junior Suite pula lebih besar, 35 meter persegi dengan pemandangan menghadap Gran Via. Selain turut mempunyai keistimewaan akses percuma kemudahan sauna, bilik ini juga menyediakan kerusi yang selesa di sudut bacaan.
www.designhotels.com/hotels/spain/madrid/the-principal-madrid













